Sekarang bukan masanya kejar PATI, pelarian -Maria Chin

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa pihak berkuasa berhenti menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelarian, kerana tindakan itu akan menyebabkan mereka enggan tampil menjalani ujian saringan Covid-19.

“Saya sekali lagi menggesa pihak berkuasa untuk juga membuat saringan terhadap pendatang dan pelarian, tanpa mengira status mereka. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kita telah menyaksikan kecenderungan pendatang yang ditangkap dan ditahan.

“Sekarang bukan masa yang tepat untuk mengejar pendatang, termasuk kanak-kanak, dengan memungut mereka atau menahan mereka.

Sekiranya ini berterusan, kita akan melihat semakin ramai PATI dan pelarian yang tidak mahu meminta pertolongan daripada pihak berkuasa kerana mereka takut ditahan setelah diuji positif, atau bahkan negatif, untuk Covid-19.

“Apa yang seharusnya dilakukan oleh pihak berwajib adalah mendorong mereka untuk tampil diuji tanpa rasa takut.

“Golongan ini adalah tetamu di negara ini dan telah membantu kita membina ekonomi. Hormati hak dan kebebasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya lagi, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Petaling Jaya telah pun menghulurkan bantuan kepada pihak yang terjejas ekoran pelaksanaan PKPD di PJ Oldtown dan Jalan Othman Petaling Jaya.

“Berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Lama Petaling Jaya, pejabat saya telah bertungkus-lumus dalam membantu pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menyediakan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas oleh PKPD.

“Dalam masa 12 jam PKPD diisytiharkan, kami telah berjaya membuat edaran bantuan makanan pertama kepada penduduk dengan bantuan JKM dan RELA. Kami telah menyediakan setiap isi rumah dengan 12 barang termasuk beras, makanan tin, susu, bihun, mi segera, dan minyak masak.

“Barang-barang ini dibeli menggunakan hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Bantuan Covid-19 Pejabat Parlimen PJ untuk keluarga-keluarga yang memerlukan makanan untuk menghadapai Perintah Kawalan Pergerakan. Selain itu kami juga telah menerima sumbangan daripada para penaja termasuk dari UNHCR, Imaret, Yayasan Sin Chew, Kuil Buddha Fo Guang Shan, Yayasan Hasanah dan Our Journey. Sumbangan penaja-penaja tersebut telah sampai dalam masa beberapa jam sahaja selepas panggilan dibuat,” katanya.

Maria berharap  kawasan itu akan terus bebas daripada penularan pandemik COVID-19, sekali gus arahan PKPD di sana akan dihentikan.

“Minggu hadapan kita bakal memasuki minggu kedua PKPD di PJ Old Town. Setakat ini, lebih daripada 2000 penduduk dari jumlah keseluruhan 2900 penduduk telah diuji untuk Covid-19. Diharap bahawa dalam tempoh ini, kita akan mula mendapatkan hasil ujian Covid-19 dan PKPD di Old Town juga akan dalam masa terdekat,”katanya.

Bekas pengerusi BERSIH 2.0 itu juga menyeru kepada semua untuk menyertai kempen ini untuk menunjukkan sokongan dan solidariti kami kepada migran dan pelarian dengan menggunakan #MigranJugaManusia di media sosial seperti Twitter, Facebook, TikTok atau Instagram.

Sumber: Facebook Maria Chin