KJ Kata Tiada Calon PM Lebih Wibawa Dari Muhyiddin Dlm Umno Dan PAS. Ini Jawapan Padu Mohd Amar
Terkini, tiada keperluan untuk menukar perdana menteri kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah calon terbaik untuk menggalas jawatan tersebut, ketika ini.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Muhyiddin dilihat sebagai calon terbaik berdasarkan kepada pengalaman dan kebolehan yang dimilikinya.
” Bagi kami, setakat ini calon terbaik adalah Muhyiddin. Sesuai dengan kemampuan dan kedudukan beliau. Jadi, kenapa nak tukar memandangkan beliau masih baik dan sihat,”
Mohd Amar berkata kepada pemberita di sini, hari ini selepas merasmikan pembukaan stesen minyak BHPetrol di Lebuhraya Tunjung – Pasir Mas di sini, hari ini.
Kata-kata Mohd Amar itu sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa tiada calon lebih berwibawa dalam kalangan UMNO dan PAS untuk dilantik menjadi perdana menteri buat masa ini di samping kewibawaan Muhyiddin.
Khairy Jamaluddin berkata, berdasarkan kewibawaan, ia dimiliki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
” Selagi kita mendokong kerajaan sedia ada, maka perdana menteri yang kita dokong adalah Muhyiddin Yassin, soal PRU (pilihan raya umum) akan datang itu masih lagi dalam perbincangan.
” Kalau kita tengok daripada segi rakyat (penerimaan) telah diumumkan dapatan daripada badan penyelidikan dan itu adalah hakikat (rakyat mengakui kewibawaan Muhyiddin),” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Khairy berkata demikian ketika ditanya mengenai calon perdana menteri daripada Umno dalam PRU ke-15 nanti.
Pada 2 September lalu, tinjauan badan penyelidik Merdeka Center mendapati kadar penerimaan terhadap kepimpinan Muhyiddin berada pada tahap 69 peratus.
Sementara itu, mengulas mengenai pembukaan stesen minyak tersebut, Mohd Amar memberitahu, ia merupakan projek kerjasama strategik antara Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan juga pihak BHPetrol Sdn Bhd melalui Akademik YIK.
Katanya, projek rintis terbaru Akademik YIK dan kerajaan negeri itu diharap dapat membantu meringankan dana kewangan YIK dengan pelbagai cabang usaha dilakukan.
” Belanjawan YIK lebih kurang RM135 juta setahun, untuk gaji sahaja RM9.5 juta sebulan. Sebelum ini kita mengusahakan tanah dengan tanaman, namun tidak berjaya mencapai jangkaan kita, Jadi, kita kembangkan usaha ke arah pembukaan stesen minyak ini.
” Walaupun pulangan mungkin kecil tapi sebahagiannya dapat membantu kita untuk mendapatkan sumber kewangan tambahan. Tidaklah perlu bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan negeri,” katanya.
